Wednesday, 19 September 2012

Keluarga dan ekonomi.

Hidup ini seperti memandu sebuah kereta. Kadang - kadang bertembung juga dengan persimpangan. Kadang - kadang ada tol. Kadang - kadang terkena kecemasan tayar bocor atau ketiadaan stesen petrol semasa meter petrol menghampiri aksara E.  Ada juga pilihan - pilihan yang harus dibuat yang mana salah satu dari pilihan itu pasti akan melukai salah seorang dari kesayangan - kesayangan kita. Namun perkara - perkara itulah yang mematangkan hidup, menajamkan akal.

Bukanlah seorang yang pakar dalam hal rumah tangga dan masih belajar untuk menjadi pasangan yang baik. Belajar untuk mengatur kewangan rumahtangga agar tidak semput di akhir bulan. Memenuhi kehendak - kehendak ahli rumah di sepanjang hari. Menggunapakai nasihat - nasihat dari pasangan, rakan - rakan dan senior dahulu.Kerja lebih masa juga diperlukan untuk menambah sumber pendapatan yang keluar setiap bulan. Dengan lebihan pendapatan, dapat dijadikan simpanan atau membeli keperluan harian melebihi daripada biasa.

Alhamdulillah pasangan hidup kini mempunyai pendapatan sendiri. Dapatlah pasangan membeli aksesori untuk dirinya yang telah lama ditahan keinginannya semenjak dari mula bernikah. Baju, kasut, beg. Beratus jenama beribu gaya. Tapi peringatan sering juga diberikan agar tidak lupa mengadakan simpanan kecemasan. Perubatan, automotif dan balik kampung. Itu semua kecemasan dan mandatori.

Walaupun keadaan ekonomi keluarga sudah menjadi agak stabil setelah melalui lima tahun yang jerih, namu masih ada kehendak - kehendak diri yang perlu dibelakangkan. Tak percaya cuba lihat peti televisyen pancaran katod yang masih bersaiz 14 inci. Tak mengapalah, itu cuma hiburan yang bersifat lalai dan sia - sia. Tak lupa dengan selular pintar, masih bertahan dengan model usahawan 63. Selagi boleh menjawab panggilan dan teks pesanan. Melayari beberapa jaringan asas. Insya Allah suatu hari nanti.

ottantiff - buah buah kesabaran itu amat manis.

Friday, 14 September 2012

Zarith Yahya

Sepanjang melaui hidup yang biasa - biasa ini sempat mengenali seseorang yang bernama Zarith Yahya. Jangan tersilap sangka kerna beliau adalah seorang lelaki. Dengan fizikal yang sederhana kecil dan bermuka petak, beliau adalah seorang yang mudah mesra dan agak peramah. Belaiu juga ada kemahiran perubatan Islam. Boleh lawan jin, syaitan, ifrit dan lain lain.

Lakaran wajah beliau. Muka petak
Setelah beberapa tahun bertugas bersama di dalam sistem kawalan bangunan, akhirnya beliau berpindah ke beberapa syarikat lain sebelum menyertai sebuah syarikat penyelenggaraan dan pemasangan elevator terkemuka di ibu kota.



Baru - baru ini semasa menyertai jamuan aidilfitri berpeluang untuk bertemu dengan beliau lagi. Alhamdulillah hidupnya sekarang agak maju. Katanya akan mendirikan rumah tangga dengan kekasih hatinya pertengahan tahun depan. Akhir pertemua dia menjemput untuk hadir ke kenduri adiknya hujung bulan ini. Insya Allah, tidak berjanji akan hadir. Minggu depan kelas di universiti akan bermula lagi.

Semoga beliau terus maju dalam apa jua bidang yang diceburi. Ameen.

ottantiff - tidak lupa kawan.

Setengah hari Sabtu

Sesetengah orang tidak menyukai hari Sabtu kerana terpaksa bertugas selama 4.5 jam iaitu dari jam 8 pagi ke 1.30 tengahari. Mereka mengharapkan agar hari sabtu dapat bercuti sepenuhnya. Boleh lah tidur sampai lewat pagi atau cuci kenderaan. Pendirian berbeza pula bagi yang mereka yang terlibat di bidang penyelenggaraan fasiliti kerana klien tidak ada pada hari sabtu (klien bercuti sepenuhnya pada hari sabtu).

Kerja penyelenggaraan dapat dilakukan dengan aman sekali. Malah jika tiada jadual penyelenggaraan ataupun panggilan kerosakan, hari Sabtu dihabiskan dengan melayari internet atau kerja - kerja penyelidikan atau mengambus lubang - lubang tugas yang tak terkambus sepanjang hari minggu. 

Apa pun syukur dipanjat ke hadrat ilahi. Kerja Sabtu atau tidak yang penting masih mempunyai pekerjaan untuk menanggung isteri - isteri dan anak yang ramai. Boleh membayar ansuran banglo, kereta Mercedez SLS AMG, Ferrari dan Toyota Camry 2.4 yang masih berbaki 3 tahun. Alhamdulillah.

ottantiff - workaholic i'm not

Rumah terbuka

Sambutan aidilfitri diadakan selepas sebulan berpuasa. Menurut apa yang difahami dari kuliah ustaz - ustaz, sambutan aidilfitri diadakan hanyalah pada satu syawal setiap tahun. Di tanah air tercinta ini, sambutannya dilanjutkan ke akhir bulan Syawal. Memandangkan kebanyakan ahli kota pulang ke kampung masing - masing, rumah terbuka diadakan sepanjang bulan Syawal.

Warga kota gemar mengadakan rumah terbuka aidilfitri di hujung minggu. Manakala syarikat - syarikat mengadakannya di waktu kerja semasa waktu makan tengahari. Jimat belanja lah bagi pekerja - pekerja yang terlebih belanja semasa sambutan aidilfitri. Alhamdulillah, rezeki yang dikurniakan oelh Allah dinikmati bersama secara beramai - ramai.



Sepanjang Syawal ini bermula dari satu syawal hingga anak bulan syawal kembali hilang, sekitar tiga puluh jemputan yang diterima. Lelah memenuhi kesemuanya namun digagahi jua kerna yang nikmat itu bukan makanannya tetapi nikmat nilai persaudaraan yang dibawa. Lihat lah senarai undangan yang diterima seperti dibawah.
1.  Bapa saudara di Tawang
2.  Sepupu isteri di Kubang Kerian
3.  Sahabat isteri di Pasir Tumbuh
4.  Jiran depan rumah
5.  Jiran tepi rumah
6.  Jiran kawasan perumahan
7.  Jiran kawasan perumahan
8.  Jamuan idulfitri Tyco
9.  Jamuan idulfitri Newfield
10.Rakan sekerja
11.Rakan isteri
12.Rakan isteri
13.Rakan isteri
14.Rakan isteri
15.Jamuan idulfitri KLCCUH
16.Pot Luck Tyco cawangan KLCC
17.Jamuan idulfitri Topaz 3
18.Sepupu
19.Makcik kantin
20.Rakan isteri

Tidak semua undangan dapat dipenuhi. Harap orang yang menjemput tidak kecil hati. Maklumlah luang masa yang ada dengan jarak yang agak jauh, maksimum empat rumah sahaja yang dapat dikunjung sehari.

ottantiff - silaturrahim ini tak akan terpisah

Thursday, 13 September 2012

Pekerjaan > Pelajaran

Semasa berada di alam pengajian fikiran sudah terbayang apabila tamat pengajian nanti kehidupan yang akan dilalui adalah didalam sektor perkilangan atau pembuatan. Dikelilingi oleh gadis - gadis operator dan mesin - mesin besar dan bunyi konveyor yang diatasnya ada produk - produk elektronik seperti radio, tv atau pemain cakera optik. Teruja rasanya.

Namun apabila hampir tamat pengajian, terlibat pula dalam bidang teknologi maklumat dan komputer. Minat mula beralih arah. Namun cubaan untuk melibatkan diri dalam bidang teknologi maklumat ini hanya dapat dipenuhi secara sepenuh masa memandangkan bidang pengajian yang diceburi adalah elektronik. Kecewa apabila melihat permohonan ditolak oleh syarikat - syarikat yang dipohon. 
Namun apabila menjejakkan kaki ke alam pekerjaan yang nyata, inilah bidang yang diceburi sekarang. Sistem kawalan bangunan.


Pekerjaan yang memerlukan kemahiran kedua - dua bidang yang diminati dahulu. Elektronik dan teknologi maklumat.

ottantiff - tuhan lebih tahu

Wednesday, 12 September 2012

UPSR

Ucapan ikhlas,

"Selamat menduduki UPSR kepada adik - adik yang menduduki tahun enam sekolah rendah."

Terkenang di waktu dua puluh tahun yang lampau. Bukan dari jenis mat stadi atau ulat buku, namun terpilih untuk menyertai kelas elit dalam menghadapi UPSR yang terdiri dari 4 gred pencapaian. Di kala waktu itulah mula mencampuri rakan sebaya dari kelas yang lain. Yang kebanyakannya tidak dapat dilupakan hingga kini. Lelaki dengan nakalannya. Perempuan dengan comelnya. Dan ikatan yang membawa ke sekolah menengah yang seterusnya.

Terdengar berita dua daripada rakan perempuan telahpun kembali ke rahmatullah. Salah seorang daripadanya bernama Tanty Diana bt Ahmad Tajuddin. Bukan kawan rapat namun beliau seorang yang menyenangkan hati. Mula belajar dalam satu kelas semenjak akhir tahun 1989. Perkara pertama yang diingati tentang belaiu ialah tudung saji. Sudah lupa ada apa sebenarnya dengan tudung saji tetapi itulah yang diingati. Mulai putus hubungan apabila memilih pengajian aliran vokasional teknik di tahun 1996. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka.

Kini yang hanya masih terhubung hanyalah rakan berbangsa India bernama Rajakumaran AL Rajappan. Tidak pernah lupa mengucapkan sambutan puasa dan hari raya. Dia dan keluarga adalah budiman yang berasal dari Kuantan. Mula berada di kelas yang sama semenjak tahun 1992. Rakan yang melampaui perbezaan budaya, bangsa dan agama. Dari beliau nilai menghormati perbezaan dipelajari.

Kenangan tinggal kenangan. Mahu saja kembali mencari rakan lama di zaman sekolah rendah dahulu. Bersama mengenang kembali kisah lampau. Namun ikatan komitmen membataskan hasrat. Harapan tinggal harapan.

ottantiff - semoga bersatu lagi nanti.


Tamat dan Mula

Bangunan terkini UTMS
Permulaan di alam dunia adalah kelahiran. Kematian adalah penamat bagi urusan di dunia. Namun harus diingat pepatah pujangga dahulukala,

"kematian adalah permulaan kepada kehidupan yang takkan mati lagi"

Lokasi terkini UTM
Kehidupan sebagai penuntut separuh masa sememangnya memakan banyak luang waktu bersama keluarga. Namun ini adalah pengorbanan yang perlu.
Alangkah leganya apabila berakhir peperiksaan akhir semestar. Itu bermaksud sessi pengajian telah tamat. Namun nafas kelegaan tersekat di halkum apabila meneliti jadual pembelajaran sessi berikutnya.

"Hah, kelas bermula dalam masa dua minggu lagi?"

Itulah rutin mutakhir sejak beberapa tahun lepas. Setiap yang berakhir pasti akan bermula kembali.


ottantiff - redah sahaja.

Wednesday, 18 July 2012

Ke UTM Skudai

Menyertai program separuh masa UTMSPACE memerlukan sedikit waktu untuk melakukan ujian makmal di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Sedikit? 5 hari bekerja berada disana pastinya memerlukan pengorbanan masa, wang dan juga cuti tahunan turut terbakar. Tetapi syarikat menaja cuti itu dan mengumumkannya sebagai 'cuti peperiksaan'.

Sebanyak 5 makmal yang mesti disertai dan diselesaikan ujikaji nya. Itu tidak termasuk soalan - soalan pra makmal yang mengaitkan dengan pengetahuan pengajian dahulu (yang telah ditinggalkan kenangannya 10 tahu lepas, ha ha ha).

Apa pun ketabahan dan pengorbanan di perlukan, bukan sahaja di pihak pelajar malah pihak anak isteri yang ditinggalkan. Semoga apa yang dicurahkan ini berbaloi dan membuahkan hasil. Semua ini hanya kerana Tuhan, untuk manusia.

Makmal Tahun 3 Khusus

ottantiff - berusaha, berjaya!

Tuesday, 17 July 2012

Iftar vs Imsak

JAKIM telah pun mengeluarkan jadual Iftar dan Imsak (beserta waktu solat yang lain lah). Boleh rujuk gambar yang dilampirkan jika mahu kepastian. Apa pun Kerajaan negeri Selangor belum lagi mengeluarkan jadual Iftar dan Imsak (tak jumpa). Harap dapat dieluarkan sebelum Ramadhan tiba.

Aturkan Jadual ibadat dengan lebih padat agar boleh berterusan amalan nya ke Ramadhan 1434h. Ameen.

Marhaban Ya Ramadhan. Ramadhan Kareem.

Rujuk lah bagi warga kota Kuala Lumpur
ottantiff - Selamat Berpuasa!

Monday, 16 July 2012

SIhat vs Sakit

Bersin
Dihinggapi masalah batuk dan selsema hasil pergaulan rapat dengan Nuh membuatkan tubuh merasa agak lemah dan cecair mukus menakungi ruangan hidung. Apakan daya, penyakit yang datang adalah untuk menguji keimanan kepada Allah SWT.

Pernah terdengar dari kuliah agama yang menyatakan Saidina Abu Bakar merasa risau jika tidak dihinggapi penyakit beberapa ketika kerna ujarnya risau Allah SWT telah melupakannya (Semoga apa yang disampaikan ini bersumber dari kisah yang benar).

Apa pun doa tetap dipanjatkan agar penyakit yang menyinggah ke batang tubuh yang sudah sedia lemah ini akan pergi bersama dosa- dosa yang tak pernah lekang dari manusia. Nikmat kesihatan itu akan disyukuri semasa sakit bersama kita. Alhamdulillah, usia sihat itu lebih panjang dari usia sakit yang singgah di batang tubuh ini. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

ottantiff - syukur, redha, sabar

Sunday, 8 July 2012

Hiburan Rohani



Special
Susah Senang
Sudah lama tidak memiliki album nasyid kontemporari, baru - baru ini memesan kepada salah seorang rakan untuk mencari album - album yang agak menenangkan halwa telinga. Lantas rakan itu memilih album "Hijjaz - Susah senang kita bersama" dan "Unic - Special Edition".

Tak sangka pulak dua kumpulan ni dah bernaung di bawah syarikat produk islamik Herba Penawar Al Wahidah (HPA). Malah mereka turut menyanyikan lagu stor - stor dan sajak usahawan HPA.Bermakna album mereka tidak terdapat di kedai - kedai muzik. Muzik dan lagu mereka masih lagi catchy dan menenangkan perasaan. Boleh dengar sambil layan kopi Radix

ottantiff - minat nasyid.

Friday, 6 July 2012

Guru vs Kerani


Sekolah mana ntah
" Binatang betul lah kerani sombong tu." Itulah yang selalu kedengaran dari rakan sebilik. seorang guru bahasa arab merangkap ustazah merangkap guru pendidikan jasman merangkap ustazah pendidikan agama islam. Malah ungkapan yang bernada hampir sama kedengaran dari rakan - rakan guru yang lain.

kelas mana ntah
Bukan hendak merendahkan kecetekan ilmu atau portfolio yang dipeganag tetapi sikap tak sedar diri menyebabkan kredibiliti setara dengan pendidikan yang ada di dalam dada mereka. Hanya mampu memberi nasihat kesabaran dan ketabahan kepada rakan sebilik. Kerana sikap lelucon seperti itu hanya digayakan oleh beberapa orang kerani yang tak berapa senior pun dalam jawatan mereka. Cuba memperbodohkan beberapa guru baru yang mereka rasa senang untuk diperbodohkan. Tak mengapa kerana apabila tiba masa nya, balasan yang mendatang tidak akan dapat dielak lagi.

ottantiff - Allah nampak, malaikat catat.

Jauh


bukan helmet yg digunakan
Perjalanan yang jauh memang agak melenguhkan tulang temulang. Maklumlah usia dah menginjak ke 30 an memang tak sama dengan usia 20 an dulu. ditambah pula dengan kapasiti kubik yang tak sebanyak cbr rabbit (lihat gambarajah yang disediakan) membuatkan perjalanan menjadi agak panjang.

bukan super shadow.
Tapi syukur tetap dipanjatkan kerana Allah SWT menjadikan sesuatu ada hikmah yang panjang. dan setiap apa yang dilakukan dalam perhatian Allah SWT. Jangan lah sedih dan takut kerana Allah SWT bersama dalam kebaikan yg dilakukan. Alhamdulillah.

ottantiff - abadan syakuro.

Monday, 19 March 2012

Korea - Malaysia


Sebelum
 Bukan peminat cerita Korea walaupun dramanya agak catchy dan tangkap leleh. Malah ada beberapa band music di tanah air menggunakan konsep K - Pop untuk mengenengahkan nama mereka di dalam industri hiburan tanah air. Baru - baru ini ada seorang lelaki yang kekal dengan imej bersongkok dari awal persekolahan hingga berakhir sekolah menengah menukar imejnya apabila menjejakkan kaki ke IPTA. Namun konsep dan imej terbarunya tidak mendapat pengiktirafan beberapa pihak atasan di dalam keluarganya sendiri. Kritikan demi kritikan yang agak pedas terpapar di dalam internet. Tiada langsung kritikan membina atau nasihat yang positif diberikan
Selepas
Perkara sebegini sepatutnya tidak berlaku. Apa salahnya berubah dari konsep 'Awan Nano' kepada konsep 'Full House'? Namun begitu sepatutnya lelaki itu bersedia dengan kritikan yang datang dan bertenang menghadapinya. Biasa lah jejaka kacak pastinya akan menghadapi ujian sekiranya kekacakan dipertingkatkan


ottantiff - susah nak berubah.

Friday, 16 March 2012

Hilang

Kelajuan motorsikal yang setara dengan menaiki basikal tua menyebabkan kebanyakan semangat dan tenaga hilang ketika menunggang ke tempat kerja. Seluruh badan seolah - olah turut bergetar bersama - sama dengan motorsikal yang semakin lanjut dimamah usia dengan paksaan kelajuan yang diberikan kepadanya. Sementara permohonan untuk mendapatkan gantian motorsikal diharap Machine Shadow dapat bertahan untuk berkhidmat. Oh...

Saturday, 18 February 2012

Umar Mukhtar dan Ahmad Yassin

Poster Filem 1981
Meluangkan masa menonton filem bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul 'Lion of The Desert' rasanya sudah 4 kali menonton filem ini tapi tak pernah berjaya menontonnya dari awal siaran. Amat jarang filem yang mengagungkan pejuang Islam seperti ini dibikin. Panggung kita sering dipenuhi dengan kisah hero - hero bawaan Hollywood yang lebih kepada perjuangan bangsa Eropah dan Amerika.

Umar Mukhtar
Umar Mukhtar menjelang perbicaraannya di Mahkamah Tentera
 Kisah seorang guru Al Quran yang bangkit menentang penjajahan Kerajaan Imperial Itali di bawah pimpinan Benito Musollini beraliran Facisme memakan korban yang ramai serta membuatkan rakyat Libya menderita. Gigihnya tokoh berjuang disamping menjadi guru Al Quran menjadi pedoman dan idola kepada rakyat Libya sehinggakan wajahnya diabadikan pada not 10 Lira. 

Usia perjuangan Umar Mukhtar mencapai 20 tahun, satu usia yang terlalu lama sehingga akhirnya beliau ditangkap dan digantung setelah dibicarakan secara tidak adil oleh mahkamah tentera Itali. Beliau dijatuhi hukman gantung sampai mati pada usia menghampiri 80 tahun. Akhirnya Allah mengurniakan pangkat Syuhada, satu pangkat tertinggi dalam perjuangan agama.

As Syahid Syeikh Ahmad Yassin
Teringat pula pada satu lagi tokoh syuhada yang menjadi pengasas kepada pergerakan Hamas (kini menjadi parti yang membentuk kerajaan Palestin). Dalam keadaan lumpuh seluruh badan kecuali kepalanya akibat diseksa semasa berada didalam tahanan Israel, beliau meneruskan usaha selaku pemimpin kerohanian Hamas. Beliau juga memimpin gerakan menentang Rejim Zionis Yahudi yang tak henti -henti menyeksa masyarakat Palestin. Namun akhirnya beliau syahid pada 2004 setelah dibedil roket. Syeikh Ahmad Yassin, tokoh yang akan sentiasa diingati mujahid - mujahid Islam Palestin dan seluruh dunia. 


ottantiff - jihad tiket mudah ke jannah

Friday, 17 February 2012

Machine Shadow

 Tinggal di tempat yang agak jauh dari tempat kerja bukan satu masalah untuk sampai awal. Malah ini telah dibuktikan oleh beberapa rakan yang tinggal di Sungai Buloh, Dengkil dan Seremban. Berdasarkan Google Maps sepatutnya mengambil masa 43 minit untuk jarak sejauh 43km. Dengan bertolak keluar dari rumah jam 0717 Hrs boleh sampai dan ketuk kad rekod masa tepat jam 0800 Hrs dan mengekalkan reputasi yang pekerja cemerlang dan melayakkan diri untuk mendapat kenaikan tahunan sebanyak 10% (Pelik tapi Pelik).

Lebih kurang
Namun begitu semua ini mesti disokong oleh jentera yang sihat sejahtera serta mampu memberikan kelajuan muktamad sekurang - kurangnya 140km/j. Sekian lama menunggang Machine Shadow (Suzuki TXR Gamma) tanpa sebarang masalah (sebelum ini jarak perjalanan cuma 8.3km). Mengekalkan penyelenggaraan Minyak Silender dan Palam Pencucuh 2 bulan sekali, Machine Shadow mampu memberi kelajuan muktamad 160km/j. Tetapi dek kerana usianya yang terlalu tua (16 tahun) Kelajuan Muktamad tak upaya diberi dalam jarak yang terlalu jauh. Machine Shadow tiba - tiba kaku dipertengahan Lebuhraya Maju. Kelajuan Muktamad bertukar dari 140km/j kepada 80km/j dan masa perjalanan bertambah dari 40 kepada 60 minit. Seolah - olah memberi isyarat - Aku mahu bersara. Sabar, Machine Shadow. Belum mampu lagi untuk menukar jentera lain. Khidmat Machine Shadow masih diperlukan.


ottantiff - Machine Shadow : dah lama berkhidmat

Tikus CFCR

 Mendapat panggilan stesen kerja di bangunan  tidak dapat beroperasi dengan baik dikala operator sibuk dengan borang - borang permohonan. Masalah segera dihadiri bagi memudahkan kerja - kerja pengurusan bangunan.Puas menguji perisian sistem kawalan namun tak berhasil. Kenapa? Kenapa? Kenapa? Siasatan harus dilakukan dengan pantas.


Anda percaya atau tidak bahawa kabel gentian optik mempunyai perisa yang digemari tikus? Percaya atau tidak setelah berulang naik turun menara berkembar ini menemukan kabel gentian optik telah digigit dengan seleranya oleh sekumpulan tikus yang digelar 'tikus CFCR'. Betapapun lapar janganlah sampai perkakasan sistem kawalan menjadi alas perut. Sesuatu yang diluar dugaan. Terpaksalah memohon kebenaran pelanggan  untuk mengeluarkan arahan penggantungan operasi gabungan sistem kawalan dan sistem kebakaran dan memulakan operasi di bilik kawalan bawah tanah. Sememangnya satu tempat yang terasing dan sunyi


Rak suis rangkaian yang dipenuhi najis tikus CFCR membuktikan kehadiran secara jemaah puak mereka. Proses membaiki ini pastinya menelan kos yang banyak disamping masa yang panjang untuk mengupah kontraktor lain memandangkan kepakaran kami hanya dalam bidang kejuruteraan sistem kawalan dan sistem kebakaran. Tak mengapalah, asalkan semua perkara selesai. Segala lubang pada suis rangkaian telah ditutup. Semoga tempat itu tidak lagi menjadi penginapan tikus CFCR durjana itu.


ottantiff - Kejuruteraan Bangunan + Kawalan Perosak

Wednesday, 15 February 2012

Bodoh lwn Malas


Lembu pakar dalam bidang rumput sahaja
Karier seharian sebenarnya bukan satu alat untuk mengukur kejayaan diri. Mungkin insan lain yang lebih rendah posisi nya adalah lebih baik daripada insan yang satu lagi. Tiada perubahan posisi kerana kepakarannya tidak terletak pada posisi yang diduduki. Atau bahasa kasarnya, bodoh. . Boleh jadi, kan? Bodoh itu tidak salah. Namun perkara ini mesti diubah dengan satu cara - belajar. Selaku rakan sekerja wajiblah kita mengajar orang yang ada kekurangan dalam bidang yang sama dengan kita. Persoalannya - Macamana pula andai posisi yang dipegang itu tidak berubah kerana sikap kerjanya yang tidak berubah? Berputarlah sifir itu membentuk palindrom yang bakal memeningkan orang - orang lain.

Malas membawa tidur
Terdapat beberapa manusia yang sering mencemburui kemewahan orang tanpa membuat anjakan paradigma ke atas diri sendiri. Silap nya cuma satu - malas. Malas belajar, malas bekerja, malas kerja lebih masa, malas ikut orang dan segala bagai malas. Malas ini lah yang akan membunuh segala peluang kita untuk kehadapan. Dan malas ini lah yang membuat orang hendak membunuh kita. Mari kita lawan sifat malas itu.

ottantiff - mari kita saling belajar.

Fobia

Fobia

 Kejadian jenayah berlaku tidak memilih mangsa. Tapi sebenarnya penjenayah memilih mangsa iaitu mangsa yang leka atau tidak diawasi. Walaupun kerugian aset mungkin tidak seberapa namun kesan daripada kejadian itu akan menghantui hidup mangsa sehingga memakan ratusan dekad (itupun andai umur mencapai usia itu). 
Hilang


Baru - baru ini saudara perempuan rakan sebilik mencari rakan rumah sewa bertujuan untuk berkongsi sewa rumah disamping menemani nya yang tinggal bersendirian di Perumahan Rakyat Rejang Perdana. Sememangnya kawasan yang diduduki selamat berdasarkan persekitaran yang sentiasa ada aktiviti selain rondaan polis yang kerap berkala. Sepatutnya selamat untuk didiami walaupun seorang diri. 


Hilang
Setelah puas memilih daripada permohonan dalam mudah.my akhirnya calon yang sesuai ditemui. Kekurangan pengalaman, tiada diminta sebarang  pengenalan diri atau deposit sewa kerana niat cuma hendak mencari rakan serumah. Di situlah bermula Fobia yang bakal menghantui hidupnya untuk seratus tahun lagi.


Hilang


Datanglah rakan rumah sewa dengan menaiki Honda Civic jam 11 malam. Setelah masuk ke dalam rumah bermulalah sembang nya konon datang dari Kedah (tak kedengaran pun slanga Kedah nya) dan mak saudaranya dalam perjalanan ke sini untuk menghantar barang peribadinya dan terlibat dalam kemalangan kecil. Memandangkan sudah lewat malam, adik rakan sebilik mengambil keputusan untuk tidur kerana sudah terlalu lewat malam.  
Hilang


Malang memang tidak mengeluarkan sebarang bau kerana celik mata untuk menunaikan solat subuh, barangan peribadi adik rakan sebilik seperti gambar - gambar yang tertera hilang dikebas 'rakan rumah sewa' barunya. Dengan ini secara rasminya dia telah menjadi 'mangsa perlakuan jenayah'. Menjadi pengalaman perit yang pertama. Dan bermulalah fobia dan igauan ngerinya sampaikan hendak pulang ke rumah pun tak mampu. Ya, kehilangan aset boleh diganti tetapi semangat yang hilang hanya Allah yang mampu mengembalikannya. Maklumlah orang perempuan. Kudrat yang terhad.


ottantiff - nikah cepat, suami jaga.

Tuesday, 14 February 2012

200 ke 20

Peranti pengesan tekanan air
Sub kontraktor tiba agak lewat daripada biasa untuk melakukan kerja - kerja pemasangan peranti pengesan tekanan air pada paip domestik bangunan paling berprestij Malaysia. Kerja - kerja terpaksa ditangguh bagi menunaikan solat fardhu jumaat. Sub kontraktor memilih untuk tidak menukarkan kasut yang dipakainya memandangkan beliau adalah kontraktor luar yang mesti mematuhi peraturan yang dikenakan ke atas kontraktor luar. 


kasut hilang di masjid?
Malang tak berbau, kasut mahal yang berharga lebih kurang RM200 itu hilang dicuri semasa khusyuk menunaikan solat Jumaat. Terpaksalah beliau meminjam kasut yang berharga RM20 untuk masuk semula ke bangunan ini demi menyambung kembali kerja yang terhenti tadi. Bangga melihat kontraktor muda yang baru kehilangan kasut mahal itu, tiada satu pun maki hamun tercetus dari mulut nya. Hanya sekadar mengucapkan 'bukan rezeki saya'. Semoga Allah menggantikan kasut itu dengan sesuatu yang lebih berharga, kelak. Ameen.



ottantiff - sabar saja lah.

Wednesday, 8 February 2012

Delta T

Jam 3 pagi dikejutkan dengan panggilan dari Bilik Kawalan Sistem Bangunan mengatakan Delta T sudah menghampiri bacaan 1ºc. Apa, 1ºc? Apakah program yang ditulis tidak berkesan atau terdapat kerosakan dalaman pada peranti kawalan?


Setelah diteliti maklumat dari pegawai bilik kawalan, rupanya terdapat kerosakan pada bahagian penyaluran air dingin di pusat penyaluran air dingin. Permintaan untuk mendapatkan maklumat terperinci gagal diperolehi kerana panggilan tidak dijawab. Terpaksa lah pegawai itu berulang - ulang membuat panggilan telefon kepada bilik kawalan mereka.


Pagi - pagi setelah sampai ke bilik kawalan barulah mengetahui kejadian sebenar. Ura - ura mengatakan  berlaku kebakaran pada mesin pengubah elektrik yang merebak ke pendawaian lain. Namun maklumat itu belum dapat disahkan. Apa yang pasti sekarang ini pekerja menara sedang mengalami suhu yang lebih tinggi daripada biasa. Dan keadaan ini dijangkakan berlarutan sehingga dua hari.


ottantiff - hari yang sibuk.

Selamat Hari Jadi

Baru - baru ini rakan sebilik ada meluahkan hajatnya untuk membuat jamuan mengejut kepada  satu - satu nya saudara perempuan yang dia ada sebab yang lain sudah pun meninggal dunia (dalam bentuk sperma). Mungkin kerana tekanan kewangan, maka majlis itu dilakukan dengan tidak terurus. Atas persetujuan rakan serumah maka hadiah telah dibeli. Satu barangan berguna dan agak mahal (berdasarkan apa yang ada dalam poket) dan kek kongsi tiga penyambut harijadi (bajet).


Alhamdulillah majlis berjalan lancar walaupun tidak terurus. Malah makanan pula berlebih - lebihan. Siap boleh ulang makan pagi esok. Menumpang sambutan majlis, kenduri doa selamat kelahiran keluarga baru dan dapat berkumpul keluarga Bani Sulaiman di rumah disertakan.


Tapi memang perasaan kecewa terukir juga sebab orang yang dirai tak jeling tak sentuh langsung hadiah yang diberi. Sehinggalah rakan sebilik menegurnya esok pagi. Tetapi segera muhasabah diri. Tak mengapalah, sekadar menunaikan hasrat rakan sebilik. Biasalah semasa senang, cari kekasih. Bila susah baru kenal saudara (paku dulang paku serpih sama dengan yang memblog ni).


ottantiff - sedia berkhidmat

Thursday, 2 February 2012

Deko (ottantiff vs Rakan Sebilik).

Rakan Sebilik tidak pernah setuju dengan cadangan deko ruang tamu yang diajukan. Malah beberapa kali bermasam muka kerana cadangan yang diajukan. Salahkah cadangan deko yang diberi. Alasannya : mengarut, malu dan tidak logik. Sebenarnya Rakan Sebilik tidak pernah memahami jiwa seorang yang minat dengan peralatan elektronik. Lihat saja cadangan deko yang diajukan. Warna tema hijau yang lebih kepada alam sekitar. Cubalah dulu?


ottantiff - salahkah?

Tuesday, 31 January 2012

Timesheet (Kerja vs Cuti)

Sudah tiba masa untuk membuat tuntutan kerja lebih masa. Alhamdulillah kesyukuran dipanjatkan kerana masih ada ruang untuk melakukan kerja lembur.

Namun begitu terperanjat juga apabila melihat kad catatan masa. Banyak sungguh cuti yang dipohon sehingga mengatasi jam bekerja. Jika dihitung hanya 81 jam sahaja bulan ini. Oh teman sejawat. Maafkan rakan mu kerana banyak membebankan mu.

ottantiff - apa yang penting, kerjasama (ihsan Wonderpet)

Monday, 30 January 2012

Pe - ramah vs Super - Ramah


Bagi peminat komik Marvel atau DC pastinya anda kenal watak - watak seperti Super Hero atau Superman. Mereka dipanggil Super kerana kekuatannya yang hebat dan luar biasa. Begitu juga dengan golongan puan dan makcik yang gemarkan Supermarket demi melihat tawaran harga runtuh terkini. Tempat itu digelar Supermarket kerana banyaknya barangan yang hendak dijual di tempat itu.


Gambar hiasan semata - mata
Memanfaatkan cuti tahunan untuk menjenguk kediaman kedua. Sibuk menyapu laman rumah, tiba - tiba ditegur oleh salah seorang jiran yang belum sempat dikenali. Cuba menjadi Pe - ramah, salam pengenalan dihulur. Sempat jiran baru ini menawarkan peralatan pembersihan miliknya. Tugas - tugas kembali disambung setelah anaknya datang mengganggu bicaranya. Namun begitu disebabkan jiran ini yang terlalu ramah atau dengan kata lain Super - Ramah, tugas mencuci terhenti beberapa kali. Melayan kisahnya mengenai kabinet dapur dan ubahsuai rumah, saluran air yang tersumbat, mengenai jiran - jiran dan uncle yang baru kematian isteri akibat kanser porgidia harbik (tidak wujud pun kanser ini). 


Memang biasa lah Pe - Ramah vs Super - Ramah, pastinya Pe - Ramah akan tewas. Tapi banyak manfaat dari ruang yang dicipta. Dapat lah menggunakan tangga, penyapu air dan nombor telefon beberapa kontraktor pengubahsuaian. Apa - apa pun, terima kasih jiran Super - Ramah.


ottantiff - semoga kita berjiran sampai ke Jannah.







Sunday, 29 January 2012

Kebisingan

Blok 16 Flat Seri Pulau Pinang

Sudah 5 tahun mendiami kawasan kejiranan yang berupa bangunan 4 tingkat. Dengan fasiliti yang diurus oleh DBKL, rahmat yang diterima terlalu banyak untuk disyukuri. Kawasan kejiranan yang di diami letaknya agak jauh dari jalan utama. Jadi gangguan bunyi kenderaan tidak lah ketara. Biasanya gangguan bunyi datangnya dari penduduk sekitar. Tapi tidaklah mencapai tahap ketara sehingga perlu membuat aduan kepada persatuan penduduk.


Tetapi agak pelik dan menghairankan, penyumbang utama kebisingan di blok yang didiami adalah seorang wanita bisu dan pekak (orang kelainan upaya). Sekadar untuk berkongsi tanpa ada rasa hendak menghina, wanita o.k.u. itu sentiasa menjerit "ho" tanpa mengira waktu. Sebenarnya dia sendiri tidak mendengar apa yang dia teriakkan. Apalah agaknya yang hendak disampaikan kepada suami dan anak - anaknya. Kadang - kadang tersenyum sambil menjeling rakan sebilik apabila mendengar teriakan wanita itu. Panggil anaknya balik makan nasi, barangkali.


ottantiff - biasakan diri.

Ikan

Ikan Kap Jopun

Setelah mendapat tempat (rumah sewa) untuk memulakan hidup sebagai suami isteri, mula lah berpindah secara berperingkat ke rumah sewa. Turut serta dalam penghijrahan ini adalah beberapa ekor anak ikan kap yang dibela semenjak beberapa bulah lepas di dalam akuarium pemberian seorang eksekutif menara berkembar. Ikan dibela dengan penuh kasih mesra.

Walaubagaimana pun ajal dan maut di tangan Allah SWT. Satu masa atas urusan kerja terpaksalah pulang ke kampung. Demi memastikan kepanjangan hayat ikan - ikan, kunci rumah diserah kepada salah seorang rakan untuk memberi pallet kepada ikan. Hati berasa tenang dan aman saat menyerah kunci kepada rakan.

Sampai ke rumah dari kampung, hancur hati saat melihat akuarium. Air berbuih dan ikan semuanya telah mati. Oh, takdir telah menyebelahi ikan itu. Tapi semangat setiakawan lebih tebal. Perkara itu cuma didiamkan sahaja.

Sekarang masih membela ikan. Di ruangan beku peti ais.. Untuk digoreng pada lain ketika.

ottantiff - santuni haiwan, tuntutan agama.

Saturday, 28 January 2012

Kalkulator Yea Encik Tabur

ini bukan kalkulatornya.
Satu ketika dahulu berlangsung peperiksaan Kaedah Berangka (Numerical Method) di Dewan Besar UTM. Pastinya ia disertai ramai pelajar kerana kebanyakan fakulti kejuruteraan mewajibkan mengambil kursus dari Fakulti Matematik ini. Sememangnya kursus ini memerlukan latihan yang banyak kerana kursus ini lebih mementingkan kelajuan daripada skil. Berbekalkan sedikit ulangkaji, sekotak alatulis dan kalkulator casio FX-570MS, mula lah menjawab soalan yang diberi.


Ngeri apabila melihat beberapa pelajar dari meja sebelah tekun menjawab soalan berbekalkan 2 set kalkulator. Betul - betul nak lulus ni pelajar meja sebelah ni. Terkial - kial menjawab soalan yang senang tapi panjang itu, akhirnya mengalah selepas 2 jam mencuba. Tapi 100% usaha telah dicurah. Hanya menanti hari pembalasan.


Hari pembalasan tiba. Berdebar memeriksa markah ujian akhir Kaedah Berangka. Alhamdulillah syukur kepada yang Esa. Lulus rupanya walaupun cukup makan. Tapi tiba - tiba terkenang pula pelajar yang membawa 2 kalkulator tu. Harap - harap dia dapat cemerlang (A).


ottantiff - yang bijak bukan kalkulator tetapi penggunanya.

16 Perangai Pengguna Facebook


Log masuk semata - mata nak klik like?
Rasanya dah lama ada akaun Facebook ni. Lebih lama dahulu daripada kenalan - kenalan lain. Tapi tak pernah log masuk sehinggalah ia menjadi popular dan menjadi fenomena dalam negara Malaysia. Mulanya hairan juga tengok perangai muda mudi ni. Bila mula menghidupkan komputer dan menyambung talian internet, laman sesawang yang mula dicapai ialah www.facebook.com. Apa yang menarik sangat dalam laman sawang itu. Terasa hairan juga. Tapi sedar tak sedar, akhirnya terjebak jua. Walaupun mengelak untuk memaparkan kisah dan foto - foto peribadi.


Tahukah anda perangai - perangai pengguna Facebook ini. Biar saya paparkan 16 Perangai Pengguna Facebook (Di dapati dari Facebook juga hahaha).




·          1. (The Lurker) Si Penyembunyi -  tidak pernah pos apa-apa atau komen mengenai pos – pos orang lain tetapi membaca kesemua komen – komen anda
·          2. (The Hyena) si anjing hutan - tidak pernah benar-benar berkata dan pos apa-apa, hanya LOLs dan LMAOs pada semua pos orang lain.
·          3. Encik/ Cik Popular – Ada 4367 kawan tanpa apa – apa sebab
·          4. (The Gamer) Si Pemain – bermain Permainan virtual Word, Farmville, Mafia Wars, membuat  kek virtual dan sebagainya sepanjang hari
·          5. (The prophet) Si Pendakwah – Setiap pos merujuk kepada tuhan
·          6. (The Thief) Si pencuri - mencuri status dan pos – pos orang lain, dan mungkin akan mencuri status ini.
·          7. (The cynic) Si sinis - membenci kehidupan mereka, dan segala-galanya di dalamnya, sebagai bukti lihat nada muram di semua kemaskini status mereka.
·          8. (The collector) Si pemungut - tidak pernah pos apa-apa jua pun, tetapi menyertai setiap kumpulan dan menjadi peminat mana – mana kumpulan secara rawak
·          9. (the promoter) si penaja - sentiasa menghantar jemputan walaupun dia pasti akhirnya anda akan mengabai atau memadamkannya
·          10. (The liker) Si penggemar - yang sebenarnya dia tidak pernah mengatakan apa-apa, tetapi sentiasa klik butang ‘like’.
·          11. (The hater) Si pembenci - setiap pos berkisar seseorang yang mereka benci, dan mereka bersumpah orang itu yang cuba untuk merosakkan hidup mereka.
·          12. (The anti-proof reader) Si pengeja salah -  orang ini akan memberi manfaat yang besar kepada pemeriksa ejaan kerana kadang-kadang anda mereka ini sangat teruk sebab mereka ini sebenarnya menaip pantas, atau benar-benar tidak pandai mengeja.
·          13. Drama Queen / King -  orang ini sentiasa pos status seperti "Mujurlah" atau " Akhirnya… ”dengan harapan anda akan bertanya apa yang berlaku, atau apa yang salah ... tetapi mereka tidak pernah selesai bercerita
·          14. Si womp womp - orang ini secara konsisten cuba berjenaka tetapi tidak pernah menjadi
·          15. (The news) Si pemberita - sentiasa mengemas kini anda kepada apa yang mereka buat dan bersama siapa, setiap masa
·          16. (The Rooster) Si Ayam Jantan – berasa bahawa ia adalah tugas mereka untuk memberitahu “selamat pagi” kepada Facebook setiap hari.


ottantiff - tak tahu di kategori mana.