Wednesday, 12 September 2012

UPSR

Ucapan ikhlas,

"Selamat menduduki UPSR kepada adik - adik yang menduduki tahun enam sekolah rendah."

Terkenang di waktu dua puluh tahun yang lampau. Bukan dari jenis mat stadi atau ulat buku, namun terpilih untuk menyertai kelas elit dalam menghadapi UPSR yang terdiri dari 4 gred pencapaian. Di kala waktu itulah mula mencampuri rakan sebaya dari kelas yang lain. Yang kebanyakannya tidak dapat dilupakan hingga kini. Lelaki dengan nakalannya. Perempuan dengan comelnya. Dan ikatan yang membawa ke sekolah menengah yang seterusnya.

Terdengar berita dua daripada rakan perempuan telahpun kembali ke rahmatullah. Salah seorang daripadanya bernama Tanty Diana bt Ahmad Tajuddin. Bukan kawan rapat namun beliau seorang yang menyenangkan hati. Mula belajar dalam satu kelas semenjak akhir tahun 1989. Perkara pertama yang diingati tentang belaiu ialah tudung saji. Sudah lupa ada apa sebenarnya dengan tudung saji tetapi itulah yang diingati. Mulai putus hubungan apabila memilih pengajian aliran vokasional teknik di tahun 1996. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka.

Kini yang hanya masih terhubung hanyalah rakan berbangsa India bernama Rajakumaran AL Rajappan. Tidak pernah lupa mengucapkan sambutan puasa dan hari raya. Dia dan keluarga adalah budiman yang berasal dari Kuantan. Mula berada di kelas yang sama semenjak tahun 1992. Rakan yang melampaui perbezaan budaya, bangsa dan agama. Dari beliau nilai menghormati perbezaan dipelajari.

Kenangan tinggal kenangan. Mahu saja kembali mencari rakan lama di zaman sekolah rendah dahulu. Bersama mengenang kembali kisah lampau. Namun ikatan komitmen membataskan hasrat. Harapan tinggal harapan.

ottantiff - semoga bersatu lagi nanti.


No comments: