Tuesday, 31 January 2012

Timesheet (Kerja vs Cuti)

Sudah tiba masa untuk membuat tuntutan kerja lebih masa. Alhamdulillah kesyukuran dipanjatkan kerana masih ada ruang untuk melakukan kerja lembur.

Namun begitu terperanjat juga apabila melihat kad catatan masa. Banyak sungguh cuti yang dipohon sehingga mengatasi jam bekerja. Jika dihitung hanya 81 jam sahaja bulan ini. Oh teman sejawat. Maafkan rakan mu kerana banyak membebankan mu.

ottantiff - apa yang penting, kerjasama (ihsan Wonderpet)

Monday, 30 January 2012

Pe - ramah vs Super - Ramah


Bagi peminat komik Marvel atau DC pastinya anda kenal watak - watak seperti Super Hero atau Superman. Mereka dipanggil Super kerana kekuatannya yang hebat dan luar biasa. Begitu juga dengan golongan puan dan makcik yang gemarkan Supermarket demi melihat tawaran harga runtuh terkini. Tempat itu digelar Supermarket kerana banyaknya barangan yang hendak dijual di tempat itu.


Gambar hiasan semata - mata
Memanfaatkan cuti tahunan untuk menjenguk kediaman kedua. Sibuk menyapu laman rumah, tiba - tiba ditegur oleh salah seorang jiran yang belum sempat dikenali. Cuba menjadi Pe - ramah, salam pengenalan dihulur. Sempat jiran baru ini menawarkan peralatan pembersihan miliknya. Tugas - tugas kembali disambung setelah anaknya datang mengganggu bicaranya. Namun begitu disebabkan jiran ini yang terlalu ramah atau dengan kata lain Super - Ramah, tugas mencuci terhenti beberapa kali. Melayan kisahnya mengenai kabinet dapur dan ubahsuai rumah, saluran air yang tersumbat, mengenai jiran - jiran dan uncle yang baru kematian isteri akibat kanser porgidia harbik (tidak wujud pun kanser ini). 


Memang biasa lah Pe - Ramah vs Super - Ramah, pastinya Pe - Ramah akan tewas. Tapi banyak manfaat dari ruang yang dicipta. Dapat lah menggunakan tangga, penyapu air dan nombor telefon beberapa kontraktor pengubahsuaian. Apa - apa pun, terima kasih jiran Super - Ramah.


ottantiff - semoga kita berjiran sampai ke Jannah.







Sunday, 29 January 2012

Kebisingan

Blok 16 Flat Seri Pulau Pinang

Sudah 5 tahun mendiami kawasan kejiranan yang berupa bangunan 4 tingkat. Dengan fasiliti yang diurus oleh DBKL, rahmat yang diterima terlalu banyak untuk disyukuri. Kawasan kejiranan yang di diami letaknya agak jauh dari jalan utama. Jadi gangguan bunyi kenderaan tidak lah ketara. Biasanya gangguan bunyi datangnya dari penduduk sekitar. Tapi tidaklah mencapai tahap ketara sehingga perlu membuat aduan kepada persatuan penduduk.


Tetapi agak pelik dan menghairankan, penyumbang utama kebisingan di blok yang didiami adalah seorang wanita bisu dan pekak (orang kelainan upaya). Sekadar untuk berkongsi tanpa ada rasa hendak menghina, wanita o.k.u. itu sentiasa menjerit "ho" tanpa mengira waktu. Sebenarnya dia sendiri tidak mendengar apa yang dia teriakkan. Apalah agaknya yang hendak disampaikan kepada suami dan anak - anaknya. Kadang - kadang tersenyum sambil menjeling rakan sebilik apabila mendengar teriakan wanita itu. Panggil anaknya balik makan nasi, barangkali.


ottantiff - biasakan diri.

Ikan

Ikan Kap Jopun

Setelah mendapat tempat (rumah sewa) untuk memulakan hidup sebagai suami isteri, mula lah berpindah secara berperingkat ke rumah sewa. Turut serta dalam penghijrahan ini adalah beberapa ekor anak ikan kap yang dibela semenjak beberapa bulah lepas di dalam akuarium pemberian seorang eksekutif menara berkembar. Ikan dibela dengan penuh kasih mesra.

Walaubagaimana pun ajal dan maut di tangan Allah SWT. Satu masa atas urusan kerja terpaksalah pulang ke kampung. Demi memastikan kepanjangan hayat ikan - ikan, kunci rumah diserah kepada salah seorang rakan untuk memberi pallet kepada ikan. Hati berasa tenang dan aman saat menyerah kunci kepada rakan.

Sampai ke rumah dari kampung, hancur hati saat melihat akuarium. Air berbuih dan ikan semuanya telah mati. Oh, takdir telah menyebelahi ikan itu. Tapi semangat setiakawan lebih tebal. Perkara itu cuma didiamkan sahaja.

Sekarang masih membela ikan. Di ruangan beku peti ais.. Untuk digoreng pada lain ketika.

ottantiff - santuni haiwan, tuntutan agama.

Saturday, 28 January 2012

Kalkulator Yea Encik Tabur

ini bukan kalkulatornya.
Satu ketika dahulu berlangsung peperiksaan Kaedah Berangka (Numerical Method) di Dewan Besar UTM. Pastinya ia disertai ramai pelajar kerana kebanyakan fakulti kejuruteraan mewajibkan mengambil kursus dari Fakulti Matematik ini. Sememangnya kursus ini memerlukan latihan yang banyak kerana kursus ini lebih mementingkan kelajuan daripada skil. Berbekalkan sedikit ulangkaji, sekotak alatulis dan kalkulator casio FX-570MS, mula lah menjawab soalan yang diberi.


Ngeri apabila melihat beberapa pelajar dari meja sebelah tekun menjawab soalan berbekalkan 2 set kalkulator. Betul - betul nak lulus ni pelajar meja sebelah ni. Terkial - kial menjawab soalan yang senang tapi panjang itu, akhirnya mengalah selepas 2 jam mencuba. Tapi 100% usaha telah dicurah. Hanya menanti hari pembalasan.


Hari pembalasan tiba. Berdebar memeriksa markah ujian akhir Kaedah Berangka. Alhamdulillah syukur kepada yang Esa. Lulus rupanya walaupun cukup makan. Tapi tiba - tiba terkenang pula pelajar yang membawa 2 kalkulator tu. Harap - harap dia dapat cemerlang (A).


ottantiff - yang bijak bukan kalkulator tetapi penggunanya.

16 Perangai Pengguna Facebook


Log masuk semata - mata nak klik like?
Rasanya dah lama ada akaun Facebook ni. Lebih lama dahulu daripada kenalan - kenalan lain. Tapi tak pernah log masuk sehinggalah ia menjadi popular dan menjadi fenomena dalam negara Malaysia. Mulanya hairan juga tengok perangai muda mudi ni. Bila mula menghidupkan komputer dan menyambung talian internet, laman sesawang yang mula dicapai ialah www.facebook.com. Apa yang menarik sangat dalam laman sawang itu. Terasa hairan juga. Tapi sedar tak sedar, akhirnya terjebak jua. Walaupun mengelak untuk memaparkan kisah dan foto - foto peribadi.


Tahukah anda perangai - perangai pengguna Facebook ini. Biar saya paparkan 16 Perangai Pengguna Facebook (Di dapati dari Facebook juga hahaha).




·          1. (The Lurker) Si Penyembunyi -  tidak pernah pos apa-apa atau komen mengenai pos – pos orang lain tetapi membaca kesemua komen – komen anda
·          2. (The Hyena) si anjing hutan - tidak pernah benar-benar berkata dan pos apa-apa, hanya LOLs dan LMAOs pada semua pos orang lain.
·          3. Encik/ Cik Popular – Ada 4367 kawan tanpa apa – apa sebab
·          4. (The Gamer) Si Pemain – bermain Permainan virtual Word, Farmville, Mafia Wars, membuat  kek virtual dan sebagainya sepanjang hari
·          5. (The prophet) Si Pendakwah – Setiap pos merujuk kepada tuhan
·          6. (The Thief) Si pencuri - mencuri status dan pos – pos orang lain, dan mungkin akan mencuri status ini.
·          7. (The cynic) Si sinis - membenci kehidupan mereka, dan segala-galanya di dalamnya, sebagai bukti lihat nada muram di semua kemaskini status mereka.
·          8. (The collector) Si pemungut - tidak pernah pos apa-apa jua pun, tetapi menyertai setiap kumpulan dan menjadi peminat mana – mana kumpulan secara rawak
·          9. (the promoter) si penaja - sentiasa menghantar jemputan walaupun dia pasti akhirnya anda akan mengabai atau memadamkannya
·          10. (The liker) Si penggemar - yang sebenarnya dia tidak pernah mengatakan apa-apa, tetapi sentiasa klik butang ‘like’.
·          11. (The hater) Si pembenci - setiap pos berkisar seseorang yang mereka benci, dan mereka bersumpah orang itu yang cuba untuk merosakkan hidup mereka.
·          12. (The anti-proof reader) Si pengeja salah -  orang ini akan memberi manfaat yang besar kepada pemeriksa ejaan kerana kadang-kadang anda mereka ini sangat teruk sebab mereka ini sebenarnya menaip pantas, atau benar-benar tidak pandai mengeja.
·          13. Drama Queen / King -  orang ini sentiasa pos status seperti "Mujurlah" atau " Akhirnya… ”dengan harapan anda akan bertanya apa yang berlaku, atau apa yang salah ... tetapi mereka tidak pernah selesai bercerita
·          14. Si womp womp - orang ini secara konsisten cuba berjenaka tetapi tidak pernah menjadi
·          15. (The news) Si pemberita - sentiasa mengemas kini anda kepada apa yang mereka buat dan bersama siapa, setiap masa
·          16. (The Rooster) Si Ayam Jantan – berasa bahawa ia adalah tugas mereka untuk memberitahu “selamat pagi” kepada Facebook setiap hari.


ottantiff - tak tahu di kategori mana. 

Friday, 27 January 2012

Pengetik oh pengetik

Siapakah yang mencipta pengetik (Stapler) ini? Banyak benar kemudahan yang terhasil dari penghasilan mesin pengetik ini. Andai dapat berjumpa pencipta pengetik ingin rasanya bersalam dan mengucapkan terima kasih kepadanya. 


ottantiff - terjemahan langsung google Stapler - Jepretan.

Pusingan Terbalik

Inilah unit pengendalian udara
Ada satu kejadian berlaku di lapangan di mana terkesan kekurangan tekanan udara pada unit pengendalian udara dimana tekanan udara itu hampir mencapai 0 Pa. Sedangkan kontraktor penghawa dingin tegas menyatakan unit mereka berada di dalam keadaan normal. Tidak puas hati dengan penjelasan pihak kontraktor penghawa dingin, hadir ke lapangan untuk membuat pemeriksaan lanjut. Memang seluruh tingkat itu panas tetapi tidak membahang.


Ini pula alat
kawalan kelajuan
kipas
Sememang menjadi prinsip untuk tidak menyentuh peranti dan peralatan kontraktor lain. Tetapi sifat kerjasama dan tegur - menegur itu perlu agar masalah diselesaikan dengan bagi menjamin keselesaan penyewa - penyewa yang lain. Sebenarnya masalah itu berpunca dari pusingan kipas yang berlawanan dari pusingan normal. Ini adalah kerana tetapan yang salah ke atas mod pusingan kipas. Pembetulan segera dilakukan dan kini penyewa kembali merasakan kenyamanan bekerja di bangunan paling berprestij Malaysia. Syukur Alhamdulillah.

ottantiff - suka orang selesa.

Thursday, 26 January 2012

Pengudaraan

bina sendiri tu
Seringkali kedengaran soalan dari tetamu - tetamu yang bertandang ke rumah. "Apa dia tu bang?" Atau "Gapo dio tu Wae?" Cuba saudara - saudara tebak dan terka mana lah tahu saudara - saudara pernah ternampak alatan sebegini di mana - mana. 




Lohong ini  dibinakan sebagai salah satu alternatif pengudaraan di ruang tamu hasil dari susun atur perabut di ruang tamu dahulu yang agak lemas dan terjepit. Untuk mengelakkan tetamu - tetamu lemas kerana sifat suka membuang angin tanpa perkhabaran amaran yang sesuai - inilah penyelesaian nya. Jadi sesiapa yang datang bertandang ke rumah dan mengajukan soalan yang sama sudah tersedia jawapan baru untuk mereka - "Read My Blog."


ottantiff - penyedia penyelesaian penuh.

Skrin Bercahaya

Teratak kami dilengkapi dengan satu unit  peti telivisyen bersaiz 14 inci jenama Aiwa. Tak pasti keluaran negara mana. Kata ayahanda ku keluara China dan Amerika. Alasan nya 'Ai' itu iaitu 'saya' dan 'Wa' itu  æˆ‘  iaitu 'saya' juga. Jadi keputusan telah diambil untuk menelan saja telahan ayahanda sementelah telivisyen ini adalah hadiah daripada ayahanda. Telivisyen ini telah menjalankan khidmatnya dengan cemerlang semenjak ia mendiami rumah ini 4 tahun lepas. Satu tempoh yang agak lama. Tugas untuk menghiburkan tetamu - tetamu rumah dijalankan dengan cemerlang. 
Gambar ihsan Aiwa TV co ltd

Sepertimana dapur takkan berasap sekiranya isi rumah sering makan di kedai, begitulah skrin telivisyen ini. Takkan bercahaya jika rumah tidak bertetamu. Aktiviti depan telivisyen amat jarang. Hanya apabila ada langganan DVD barulah telivisyen ini akan bercahaya. Cuma sejak akhir - akhir ini rakan sebilik kembali gemar menonton kerana kebosanan menanti tempoh pantang bersalin tamat. Melayan slot drama melayu sambil sambil bersembang dengan rakan sebilik - seronok juga ya.

ottantiff - layan DVD Black RX. 

Salah Menyalah

Maaf semua.
Ini cuma Flight Simulator.
Kerjaya sebagai kontraktor ini memerlukan kemahiran untuk berdepan dengan kontraktor yang lain. Tersilap bicara boleh mengundang padah kerana bicara dan kalimat itu lah yang akan diguna pakai mereka untuk menghentam kami demi menutup pekung kesilapan yang telah berlaku. Walau bagaimanapun pengalaman mematangkan bicara. Tidak lah menjadi kegemaran melihat pekerja lain dihukum kerana kesilapan manusia. Tetapi tidak lah gemar juga melihat pihak yang benar dihentam atas kesilapan yang orang lain lakukan.




SCX 920, masih terdapat di
tapak pembinaan kami.
Semasa dalam latihan kami mengajukan beberapa soalan berhubung sistem dan peranti pengawal di tempat kami kepada pihak jurulatih. Mereka telah menamakan peranti kawalan kami sebagai Legacy Controller. Legacy? Bunyi macam barang skrap aje. Rasanya baru sahaja menggunakan unit - unit ini 5 tahun lepas. Cepat dan lajunya teknologi dalam bidang ini bergerak. Tak mengapalah, biarkan kumpulan kami digelar penggerak teknologi Legacy di bangunan paling berprestij Malaysia


ottantif - tidak memilih dengan siapa hendak bekerja. Cuma memilih cara mana hendak bekerja (kredit kepada Encik Zulkafli Ibrahim). 

Wednesday, 25 January 2012

Kalender Sulaiman's Family

Kalendar yang dimaksudkan.
Dinding rumah dihiasi Kalender Keturunan Sulaiman yang memaparkan foto - foto bini dan anak cucu Sulaiman. Penuh aksi dan berwarna warni (termasuk hitam dan putih). Penuh dengan huru hara hari hari. Sesiapa yang berminat boleh datang ambil di rumah (Selagi dakwat pencetak masih ada).

ottantiff - percuma sahaja

Benar Dan Salah

Baru - baru ini semasa menjalankan tugas - tugas penyelenggaraan dan pembersihan ke atas Nuh tak semena - mena Nuh menangis dengan nada yang amat sayu.  Tak pernah pula Nuh menangis dan mengamuk seperti ini. Biasanya ok dan layan sahaja bila tiba masa mandi. Oh - rupanya dia menangis kerana terdapat goresan luka yang berpunca dari kuku yang tajam. Patut lah garang semacam sahaja Nuh.
Rupa Nuh bila ada yang tak kena (lebih kuranglah)
Nak ikut siapa yer?
Dalam kehidupan seharian kita pastinya biasa kedengaran beberapa orang mengeluarkan pendapat yang berbeza - beza ke atas isu yang sama. Masing - masing mempertahankan kaedah mereka dan berkata 'aku lah yang benar'. Maka bermula lah pencarian : mana yang benar, mana yang salah. Sebenarnya tiada siapa pun yang salah. Yang ada cumalah 'perbezaan pendapat.'


ottantiff - dengar semua pendapat, guna cara sendiri.

Tuesday, 24 January 2012

Urusan Kerajaan

Mengambil cuti separuh hari untuk menyelesaikan urusan dengan pihak sekolah. Oh - tidak tersangka kebanyakan sekolah di Selangor mengambil turut bercuti. Rancangan untuk ke Sekolah Kebangsaan Bukit Rimau bertukar menjadi debu - debu. Perancangan yang tidak selari dengan ketentuan Allah SWT.


ottantiff - suka kerja, suka cuti.

Kelahiran - Dugaan dan Cobaan.

Qistin yang penuh aksi


Syamil Amilia. Lama Tak Ketemu.
Permulaan kehidupan di dunia ini adalah kelahiran. Kata ulama dahulu bayi menangis apabila dilahirkan adalah kerana tidak sanggup memikul beban dunia. Tiga puluh tahun hidup di bumi ini menguatkan sangka bahawa sebenarnya semua orang mengakui kebenaran kalimat ulama dahulu. Sekarang ini kedengaran suara bayi sedang menangis dari dalam bilik. Pastinya itu tangisan kelaparan. Umi terpaksa menjalankan tanggungjawabnya kerana bayi itu masih belum di ajar menyusu menggunakan botol berputing. Sementelah babahnya tidak mampu mengeluarkan apa - apa dari putingnya hatta milo o sekalipun. Alhamdulillah, kehidupan sebagai bapa banyak dipandu dari pengalaman orang - orang dahulu. Tak kira lah saudara mara, dari program TV atau internet. Yang hitam sebagai garis, yang putih sebagai kemudi. 
Nuh - seronok mandi.










ottantiff - suka minum susu

Kebebasan terbatas tanpa tetikus

Itulah. memang gemarkan yang murah. tak silap dah 4 unit dilanggan dari pusat membeli belah awam Tesco. Tapi tengoklah apa jadi. kesemua yang dibeli rosak. Malah peranti yang dilanggan sempena pesta komputer suku tahunan di KLCC convention Center juga rosak. maka tersekatlah kebebasan melukis (walaupun dengan MS Paint) kerana satu peranti yang dipanggil 'Tetikus'. Hanya denga papan sesentuh komputer riba ini memang tidak mampu meluahkan apa yang ada di dalam jantung ini. Alahai tetikus. 


Ottantiff - bukan tetikus CFCR

Pendahuluan Blog

Sebenarnya ini cuma rekaan semata - mata. Sifat yang suka berimaginasi. Membuat kesimpulan sendiri atas kejadian -kejadian yang dibaca didalam akhbar dan ditonton dalam berita. Kadang - kadang mengharap agar penghujung filem dan novel yang dibaca menjadi seperti yang diinginkan. Tapi sayangnya, bukan pengarah filem, pelukis komik atau pengarang novel, tiada bakat dalam bidang itu. Kerjaya cuma seorang pekerja syarikat kontraktor (ketika artikel ini ditulis) di menara berkembar Petronas. Tapi itu tidak menghalang untuk berimaginasi. Cuma cuba lah perhati, takkan ada perkataan 'saya' atau 'aku' dalam setiap posting, insyaa Allah.


ottantiff - kata Albert Einstein "Imagination is more important than knowledge."